TOKOH SEKOLAH
 
Dato’ Hj Abdul Razak Hj Alias
PBM, AMN, DSM, DCSM, PBB
(Pengerusi PIBG SMK Tinggi (P) Melaka)
 
Beliau telah dilahirkan padxa 20 Disember 1938 di Kampung Simpang Empat, Alor Gajah, Melaka.

Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Rendah Kebangsaan Simpang Empat dan di Sekolah Kebangsaan Melekek, Alor Gajah. Seterusnya beliau telahmelanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin. Beliau sangat bercita-cita tinggi dan suka kepada kerja-kerja amal serta berbakti kepada masyarakat. Oleh kerana minat yang mendalam untuk menjadi guru, maka beliau telah membuat kursus Perguruan TUOS. Hingga kini, beliau telah dianugerahi Allah empat orang cahaya mata bersama isteri tersayang.

Dato’ Hj Abdul Razak sangat mesra dan begitu peramah. Setelah berkhidmat sebagai guru dari tahun 1956 hingga tahun 1960, beliau kemudiannya dilantik sebagai Penyelia Kelas Kemajuan Masyarakat dari tahun 1961-1967. Kerjayanya begitu cemerlang dan dari tahun 1968 hingga 1974 beliau dilantik sebagai Penghulu di Daerah Alor Gajah. Impiannya untuk menabur bakti kepada nusa dan bangsa bermula pada tahun 1974 setelah terpilih menjadi wakil rakyat DUN Taboh Naning. Jasanya yang begitu besar diteruskan lagi apabila menjadi Ahli Eksko Kerajaan Negeri Melaka dari tahun 1978-1982. Ini membawa beliau sebagai Speaker Dewan Negeri Melaka dari tahun 1982-1986.

Jasa yang dicurahkan begitu banyak dan beliau juga seorang ahli politik yang berwibawa. Pada sepanjang baktinya, beliau pernah menjawat jawatan Ketua UMNO cawangan Simpang Empat(1964-1986),AJK. Pemuda UMNO Bahagian Negeri Melaka(1971-1972), Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah(1973-1978), Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah(1985-1987) dan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Alor Gajah (1990-1993).

Walaupun begitu aktif dalam bidang politik, namun beliau juga aktif dalam bidang pertubuhan sukarela meskipun hingga kini. Beliaupernah menjadi Pengerusi Syarikat Bekerjasama (Koperasi) Serbaguna Naning (1971-1994), Pengerusi Khairat Kematian Mukim Tabih Naning (1970 hingga kini), Naibb Pengerusi PERKIM Negeri Melaka (1980-1986), Pengerusi PPK Alor Gajah (1970-1988),AJK. Majlis Datuk-datuk Negeri Melaka (1990-1995), dan Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat Negeri Melaka (1992 hingga kini).

 Sebagai bekas guru, beliau juga terlibat dengan kepimpinan di beberapa buah sekolah. Hingga kini, beliau telah menjadi Pengerusi PIBG SMK Tinggi (P) Melaka sejak 20 tahun yang lalu. Beliau juga menjadi Pengerusi PIBG SK Simpang Empat (1970-1986), SK Dato’ Naning Alor Gajah (1972 hingga kini), SMK(A) Sultan Muhammad Melaka(1982 hingga kini). Di samping itu, beliau juga dilantik sebagai Pentadbir Bersama Sekolah Dato’ Dol Said, Alor Gajah, Sekolah Menengah Naning serta Pengerusi LPS SK Simpang Empat.

 Dari satu perjawatan ke satu perjawatan yang lain, Dato’ Hj Abdul Razak juga telah banyak melawat ke luar negara bagi membuat pemantauan demi pembangunan negara. .Beliau telah pergi hampir ke seluruh dunia; Indonesia, benua Eropah, Amerika, Pulau-pulau Selatan Pasifik dan ke Timur Tengah.

Sebagai penghormatan akan jasanya beliau telah banyak menerima pingat dan bintang kebesaran. Pada tahun 1972 beliau dianugerahkan Pingat Bakti Masyarakat (PBM) oleh TYT Yang Dipertua Negeri Melaka, Ahli Mangku Negara (AMN) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong 1978, Darjah Seri Melaka (DSM) juga daripada TYT YDP Negeri Melaka 1979, Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) juga daripada TYT YDP Negeri Melaka 1981 dan Pingat Bakti Belia (PBB) sempena Hari Belia 1983.

 Pihak SMK Tinggi (P) Melaka begitu terharu akan keperihalan Dato’ Hj Abdul Razak yang menerajui kepimpinan PIBG hingga kini. Sesungguhnya, jasa dan bakti beliau akan dirahmati  Allah. Amin.

  


Kata  Aluan  Pengetua